INDONESIA masih belum memberikan maklum balas terhadap permohonan Malaysia untuk menyediakan aset bagi membantu memadamkan kebakaran hutan yang menyumbang kepada masalah jerebu rentas sempadan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, surat permohonan berkaitan penyediaan aset berkenaan sudah dikemukakan kepada negara jiran itu, manakala perkembangan lanjut dijangka diketahui selepas Mesyuarat Kabinet esok.
“Sebarang perkembangan baharu akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching hari ini, lapor BH.
Terdahulu, Fahmi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabat Premier di DUN Sarawak, Petra Jaya.
Jerebu rentas sempadan melanda negara sejak pertengahan Ogos lalu susulan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Indonesia, yang turut menjejaskan keadaan kualiti udara khususnya di Sarawak.
Pada bulan lalu, Malaysia secara rasmi menawarkan bantuan berupa aset, pegawai dan anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang menyumbang kepada masalah jerebu berkenaan.
Tawaran itu dimaklumkan Ahmad Zahid ketika pertemuannya dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dengan bantuan yang dicadangkan merangkumi sebuah pesawat Bombardier, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memantau kandungan dalam talian berkaitan isu jerebu bagi mengelakkan penyebaran kandungan melampau yang boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini MCMC belum menerima aduan orang ramai berhubung kandungan yang ditafsirkan sebagai jelik melampau berkaitan isu berkenaan.
“MCMC sentiasa memantau kandungan berkaitan isu itu yang dikhuatiri melampau. Kita tahu dan faham, rakyat marah, kita pun marah tentang masalah jerebu yang seperti tidak berkesudahan,” katanya.





