SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengimbangi usaha menjana keuntungan dengan tanggungjawab sosial untuk membantu pembangunan negara dan memenuhi keperluan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GLC boleh meneruskan pelaburan di luar negara, syarikat berkenaan perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan dalam negara, selaras dengan peranan mereka sebagai entiti milik kerajaan.
“Pelaburan luar negara boleh terus, tapi mesti ada tumpuan untuk membantu membangunkan.
“Apa beza syarikat-syarikat milik kerajaan dengan syarikat swasta? Kalau motif kita semata-mata keuntungan, maka jadi syarikat swasta.
“Tetapi syarikat milik kerajaan itu, sementara ada keperluan untuk mencatat keuntungan, tetapi ada tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Anwar berkata, sejak tiga tahun lalu, beliau meminta GLC mengubah pendekatan dengan memberikan perhatian lebih besar kepada usaha pembangunan negara, selain memenuhi sasaran keuntungan masing-masing.
Menurutnya, penglibatan GLC dalam pembangunan negara juga penting berikutan kekangan kerajaan untuk terus meningkatkan peruntukan bagi memenuhi pelbagai keperluan rakyat.
Beliau berkata, sektor pendidikan menerima peruntukan tertinggi pada tahun ini dan tahun lalu, diikuti sektor kesihatan serta pertahanan.
Justeru, katanya, kekuatan dan sumber kewangan GLC perlu digembleng bagi membantu membiayai pembangunan negara, khususnya dalam memenuhi keperluan yang tidak dapat ditampung kerajaan melalui peruntukan sedia ada.
“Ini syarikat milik kerajaan, untungnya pulang kepada rakyat secara langsung. Berbeda dengan syarikat-syarikat swasta kerana mungkin diragui. Mungkin kerana catatan keuntungannya dan mungkin syarat-syaratnya itu tidak sepenuhnya mewakili kehendak kita.
“Jadi sebab itu penglibatan syarikat-syarikat milik kerajaan ini juga satu mercu tanda tentang cara dan kaedah pelaksanaan yang utama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, penglibatan GLC dalam Projek Residensi Siswa UM menjadi antara contoh bagaimana pelaburan syarikat berkenaan boleh dimanfaatkan bagi membantu menangani masalah penginapan mahasiswa.
Beliau berharap projek itu dapat dijadikan contoh kepada usaha menyelesaikan isu kekurangan kediaman mahasiswa yang turut dihadapi di institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara.
“Saya nak residensi siswa ini beri contoh bagaimana kita selesaikan masalah perumahan anak-anak mahasiswa yang sangat rumit di seluruh negara,” katanya.





