Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah buat sedaya upaya – PM

KERAJAAN sudah melakukan sedaya upaya untuk menangani masalah jerebu yang melanda negara ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa Malaysia terlalu berlembut dalam menangani isu jerebu rentas sempadan membabitkan Indonesia.

“Kita dah buat sedaya mungkin,” katanya ringkas selepas melancarkan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Khairy menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas dalam menangani isu berkenaan, namun mengakui Malaysia masih perlu menggunakan pendekatan diplomasi dalam berurusan dengan negara jiran itu.

Sementara itu, sebanyak 35 daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 6 petang.

Klang, Selangor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 195, diikuti Johan Setia, Selangor (192) dan Nilai, Negeri Sembilan (191). Pasir Gudang, Johor pula merekodkan bacaan 184.

Keadaan jerebu yang berlarutan turut menjejaskan sektor pendidikan apabila semua sekolah dan institusi pendidikan di Johor diarahkan tutup selama lima hari bermula 12 Oktober hingga esok.

Penutupan itu dilaksanakan dengan mengambil kira bacaan IPU, risiko kesihatan serta keadaan pencemaran udara yang masih berlarutan di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Putrajaya akan beroperasi seperti biasa esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di tiga negeri itu dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam kenyataan berasingan hari ini  menggalakkan murid, guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta seluruh warga sekolah hadir dengan memakai pelitup muka.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here