DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan kontraktor yang gagal memenuhi piawaian ditetapkan dalam Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) akan ditukar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati sasaran.
Tegas Perdana Menteri, kontraktor terbabit perlu memberi jaminan bahawa mereka akan bertanggungjawab serta melaksanakan kerja dengan pantas dan pada tahap terbaik.
Beliau sendiri akan memantau perkembangan projek itu secara dekat bagi memastikan Fasa Satu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal pada 2030.
Katanya, beliau juga akan meminta kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memantau pelaksanaan projek berkenaan dalam Mesyuarat Kabinet esok.
“Walaupun ini satu projek Residensi Siswa, saya lihatnya daripada konteks yang lebih luas, perancangan, falsafah dan konsepnya serta pastikan ia disiapkan dengan baik.
“Apa yang kita bimbang, jika ada yang masuk untuk mencuri dan mengambil komisen tapi jika kita kawal ini semua, kita boleh lakukan dengan skala yang sangat pantas,” katanya ketika berucap melancarkan projek itu di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak mahu masalah projek terbengkalai, khususnya membabitkan pembangunan kemudahan kerajaan, terus berulang sehingga menyebabkan kos pembinaan meningkat.
“Bila terbengkalai, minta ‘variation order‘, tambah lagi kos. Ini pengalaman yang harus mengajar kita.
“Universiti harus memahami semua permasalahan ini dan melihat ini patut mewakili kenyataan yang sebenar di luar. Banyaknya dana negara itu lebur, bocor kerana pengurusannya lemah,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu pembangunan Residensi Siswa UM menerapkan elemen kemanusiaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI, termasuk reka bentuk bangunan yang indah dan berseni, mempunyai sentuhan budaya serta dilengkapi persekitaran dan kemudahan yang bersesuaian.
Katanya, projek berkenaan juga perlu menjadi contoh kepada pembangunan residensi siswa di institusi pengajian tinggi lain, termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang dirancang untuk disegerakan menerusi fasa seterusnya.
“Ini contoh terbaik yang harus UM sediakan kerana selepas ini, ada projek yang sama di UiTM dan UniSZA, fasa kedua yang akan kita segerakan nanti.
“Kita mulakan di sini. Jadi, kita mahu isu tanah selesai, perancangan dan reka bentuk mesti memenuhi skop yang baharu, bukan hutan batu tapi ada nilai manusiawinya,” katanya.
UM akan bekerjasama dengan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membangunkan Residensi Siswa UM.
Fasa pertama projek itu akan dilaksanakan oleh PBLT Sdn Bhd manakala pembangunan fasa kedua membabitkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Sime Darby Property Berhad.





