BN kunci 21 kerusi, rundingan tertumpu baki tujuh DUN Melaka – Zahid

BARISAN Nasional (BN) bertegas mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, menjelang pilihan raya negeri bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bagaimanapun terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi baki tujuh kerusi yang tidak dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.

“Prinsip kita, 21 kerusi yang kita menang itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan. Jika mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai oleh BN,” katanya pada sidang media di Beijing hari ini, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menyerahkan mandat kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menentukan bentuk kerjasama yang akan dimeterai selepas hari penamaan calon.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) meraih dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon PRN Melaka, diikuti pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here