KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung minggu depan susulan situasi jerebu yang melanda negara.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan anak-anak, khususnya murid yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki pentaksiran berkenaan.
Menurut KPM, memandangkan UASA merupakan pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberi ruang untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya mengikut kesesuaian.
“Jadual baharu akan dimaklumkan kelak kepada ibu bapa dan penjaga oleh pihak sekolah masing-masing,” menurut kenyataan itu.
KPM turut memahami kebimbangan ibu bapa yang berdepan dilema antara melindungi kesihatan anak-anak daripada kesan jerebu dengan memastikan mereka tidak terlepas pentaksiran penting akibat ketidakhadiran ke sekolah.
Sehubungan itu, KPM menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan murid akan terus menjadi keutamaan, di samping memastikan semua proses pentaksiran dapat dilaksanakan secara teratur.
Ibu bapa dan penjaga diminta mendapatkan maklumat mengenai jadual baharu UASA daripada pihak sekolah masing-masing.






