HUBUNGAN antara Istana Negeri Sembilan dengan kerajaan negeri kini dilihat semakin tegang susulan penularan rakaman video Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menzahirkan kemurkaan terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim di hadapan khalayak ramai.
Penularan video yang dipercayai dirakam selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah hari ini itu memaparkan baginda secara terbuka menyatakan pendirian tidak mahu menerima menghadap Ismail selagi beliau tidak menarik balik kenyataan yang didakwa dibuat sebelum ini.
“Selagi dia tidak tarik balik apa yang dia kata, jangan datang jumpa saya,” titah Tuanku Muhriz dalam video yang kini tersebar di media sosial dan mengundang perhatian ramai.
Dalam rakaman sama, Tuanku Muhriz turut mempersoalkan tujuan Ismail datang menghadap baginda susulan dakwaan bahawa Menteri Besar itu pernah menyatakan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengatakan keputusan yang dia buat bersama Exco adalah sah dan saya bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. Go away,” titah Tuanku Muhriz yang jelas kelihatan murka, sebelum berpaling ke arah Ismail.
“Don’t see me. I don’t want to see you. You understand? I’m Yang Dipertuan Besar and you said I’m not,” titah baginda dalam video berkenaan.
Sebagai respons, Ismail hanya mampu mengangkat sembah. Selesai teguran baginda itu, jemaah di masjid berkenaan kedengaran melaungkan ‘Daulat Tuanku’.
Bagaimanapun, konteks penuh rakaman itu serta butiran surat yang disebut dalam titah berkenaan masih belum dapat dipastikan berdasarkan video yang tular.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan kemelut berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Krisis berkenaan bermula dengan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan baginda daripada takhta.
Bagaimanapun, proklamasi itu dipertikaikan apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu memutuskan bahawa tindakan berkenaan tidak sah. Antara alasan yang dinyatakan adalah persoalan mengenai status tiga daripada empat penandatangan serta proses yang didakwa tidak dipatuhi sepenuhnya.
Kemelut itu kembali memuncak pada 16 September lalu apabila barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi berkenaan adalah sah.
Susulan perkembangan tersebut, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua ahli Exco negeri berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Raja-Raja Melayu sebelum ini menegaskan bahawa pihak luar tidak seharusnya mencampuri urusan atau mempolitikkan kemelut takhta Negeri Sembilan.
Sebaliknya, semua pihak diseru supaya mengutamakan penyelesaian berdasarkan undang-undang dan adat negeri bagi meredakan pertikaian berkenaan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, sebarang perbezaan pendirian perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, berlandaskan semangat syura serta musyawarah.
Beliau turut menegaskan bahawa proses penyelesaian berkenaan perlu berpandukan undang-undang dan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Penularan video terbaharu itu sekali lagi meletakkan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan dalam perhatian umum, ketika penyelesaian terhadap pertikaian berkenaan terus menjadi tumpuan.





