Zahid sahkan dia dan Ismail Lasim tidak dijemput menghadap semalam

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak dititahkan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir petang semalam.

Presiden UMNO itu berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan menerusi laporan media.

“Tiada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap.

“Kami tahu hanya daripada media sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (EURES) 2026 di ibu negara hari ini.

Media semalam melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur hampir sejam susulan perkembangan kemelut membabitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Laporan media turut melaporkan Ahmad Zahid dan Ismail antara pihak bersama Perdana Menteri menghadap Tuanku Muhriz.

Krisis Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu yang menyaksikan Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Undang Yang Empat kemudiannya memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Kelmarin, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco kerajaan negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.

Bagaimanapun, Ismail pula semalam mendakwa, tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco kerajaan negeri yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.

Beliau juga mendakwa tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberi nasihat berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here