SATU majlis Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan (Menzahirkan) Kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 dan Sungei Ujong Ke-11 akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah esok.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang akan diadakan dua sesi iaitu sebelah pagi membabitkan majlis menzahirkan Undang Luak Sungei Ujong dan pada sebelah petang pula membabitkan majlis menzahirkan Undang Luak Rembau yang baharu.
Majlis berkenaan antara proses penting dalam adat dan tradisi pemerintahan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Semalam, giliran Dato-Dato Lembaga Adat Luak Rembau menghadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.
Manakala hari ini, Tunku Ali Redhauddin menerima menghadap rombongan membabitkan Telaga Undang, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu serta Waris Negeri Sungei Ujong di Istana Seri Menanti.
Rombongan berkenaan diketuai Waris Negeri Sungei Ujong, Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid yang mempersembahkan Muhammad Faris Johari, 29, sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 mengikut aturan adat luak ditetapkan.
Tunku Ali Redhauddin kemudian menyampaikan perkenan bahawa Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke majlis, esok.
“Saya mendengar tujuan menghadap dan sembah maklum daripada Waris Negeri Sungei Ujong, Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid yang mewakili luak bahawa pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong dilaksanakan mengikut adat terpakai serta diamalkan dalam Luak Sungei Ujong.
“Saya ingin sampaikan titah perkenan Ayahanda saya Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada pagi Sabtu ini. Bagi urusan dan persiapan istiadat itu, Datuk-Datuk adat bolehlah berbincang dengan Orang Empat Istana. Saya doakan segala urusan istiadat berjalan lancar,” katanya, lapor Bernama.
Razlan ketika ditemui media berkata, istiadat Kerapatan Buapak memilih Muhammad Faris, yang juga seorang akauntan sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11.
“Pada majlis menghadap Tunku Besar Seri Menanti hari ini kita sudah menzahirkan bahawa Muhammad Faris Johari sebagai Dato’ Klana Petra yang baharu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Faris yang juga seorang akauntan dilantik sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11.
Pelantikan mengikut istiadat kerapatan di Telaga Undang dipilih secara bulat muafakat (consensus) oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu.
Waris Nan Tua Klana Hulu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Dato’ Lela Bangsa Abdul Malek berkata, istiadat dijalankan di bawah undang-undang teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah, berteromba pada 22 April lalu.
Sebelum ini, Dewan Keadilan dan Undang menerima pemberhentian Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungei Ujong ke-10.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat susulan sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.






