LORI yang merempuh dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Senawang malam tadi, dipercayai hilang kawalan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kemalangan kira-kira jam 11.30 malam berhampiran susur keluar Plaza Tol Senawang itu melibatkan dua lori dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik JPJ.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua anggota JPJ terbabit sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan sebelum kejadian berlaku.
Katanya, selepas pemeriksaan selesai, sebuah lagi lori yang membawa barangan makanan kering dan datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan ketika melalui lorong kiri.
“Keadaan itu menyebabkan lori berkenaan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang SUV JPJ yang dinaiki dua anggota berkenaan, selain melanggar lori yang sedang diperiksa.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu SUV JPJ berusia 42 tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang lagi penumpang SUV iaitu anggota JPJ berusia 32 tahun yang berada di dalam kenderaan sama pula mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian badan. Mangsa kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban.
Alzafny berkata, kedua-dua pemandu lori berusia 44 dan 48 tahun turut mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan.
Kes ini kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




