PRN Negeri Sembilan: Satu laporan polis diterima, luluskan 19 permit ceramah

POLIS menerima satu laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun tiada kertas siasatan dibuka.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya kekal terkawal.

“Dari aspek penguatkuasaan, satu laporan polis diterima semalam dan tiada kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka.

“Laporan berkenaan membabitkan pertelingkahan mulut antara penyokong parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik.

“Daripada jumlah itu, 19 permohonan diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Semua program dan aktiviti politik yang diadakan akan dipantau polis bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Alzafny berkata, Polis Kontinjen Negeri Sembilan akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang PRN Negeri Sembilan Ke-16.

“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru supaya terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni, selamat dan teratur,” katanya.

Beliau menasihatkan platform media sosial dengan memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian, permusuhan, ketegangan kaum, agama, institusi diraja atau mana-mana pihak yang terbabit dalam proses pilihan raya.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan itu.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang lain yang berkaitan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi serta bersama-sama memelihara keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Ia demi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan mematuhi lunas undang undang,” tegas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img