Tiga kertas siasatan termasuk dakwaan sogok pengundi dibuka – Polis

POLIS membuka tiga kertas siasatan termasuk satu berhubung kes disyaki membabitkan sogokan kepada pengundi, dipercayai mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sepanjang tempoh 18 Julai hingga 28 Julai, pihaknya menerima 62 laporan dan membuka 19 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dibuka kerana kesalahan penyogokan yang mana laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun, semalam.

“Mengikut laporannya, dia mendakwa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan seorang calon parti menerima maklumat mengenai seorang individu tidak dikenali didakwa akan memberi wang sebagai sogokan kepada ‘pengundi putih’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata, pihaknya turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Ia kerana menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya melalui media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Alzafny berkata, pihaknya menerima 76 permohonan permit semalam, bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik dan semua permohonan itu diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

“Secara kumulatif, bagi tempoh 18 Julai lalu hingga semalam, sebanyak 638 permohonan permit diterima dan 612 daripadanya diluluskan.

“Setiap program dan aktiviti politik yang diluluskan akan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img