POLIS menemukan sebilah pisau di atas tilam di dalam bilik utama kediaman pegawai agensi kerajaan yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit kediaman kakitangan awam di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, senjata berkenaan dijumpai selepas ditunjukkan sendiri oleh suspek ketika pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.
“Pisau itu disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian dan diambil untuk tindakan serta pemeriksaan forensik,” katanya lapor Buletin TV3
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Khamis, seorang lelaki dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan mendakwa membunuh isterinya.
Alzafny berkata, punca kematian mangsa berusia 35 tahun itu belum dapat diputuskan memandangkan bedah siasat akan dijalankan esok.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemui kesan tikaman pada bahagian kiri perut dan satu kesan tikaman pada pipi kanan mangsa.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian dipercayai bermotifkan perselisihan rumah tangga.
“Berdasarkan soal siasat awal terhadap suspek, berlaku pertengkaran selepas mangsa menyatakan hasrat untuk bercerai dan memaklumkan proses perceraian sudah dimulakan ketika suaminya masih menjalani hukuman penjara. Bagaimanapun, tarikh sebenar perceraian difailkan masih dalam proses pengesahan melalui dokumen rasmi berkaitan,” katanya.
Alzafny berkata, pasangan ini sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia enam tahun dan lima tahun.





