
PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berperanan penting dalam memperkasa masyarakat supaya bukan sekadar celik menggunakan teknologi, tetapi mampu memanfaatkannya secara produktif, beretika dan selamat.
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nur Kareelawati Abd Karim berkata, penyediaan akses digital perlu disusuli dengan kemahiran yang membolehkan masyarakat menggunakan teknologi bagi meningkatkan kualiti hidup.
Menurut beliau, NADI mempunyai ruang besar untuk menjadi platform pembelajaran yang membantu masyarakat menguasai pelbagai kemahiran digital.

“Peranan NADI besar. Ia bukan sekadar untuk menjadikan masyarakat celik digital, tetapi membimbing mereka sehingga menjadi pengguna yang bijak,” katanya kepada UtusanMelayuPlus baru-baru ini.
Antara kemahiran yang boleh diberi perhatian termasuk penggunaan perisian asas, pengurusan kewangan, pemasaran digital, keusahawanan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Namun, Dr Nur Kareelawati berkata, latihan perlu disesuaikan dengan keperluan sebenar masyarakat supaya kemahiran yang dipelajari dapat digunakan secara praktikal.
“Kalau kita ajar sesuatu aplikasi, masyarakat perlu faham mengapa mereka perlu menggunakannya dan bagaimana ia boleh membantu kehidupan mereka,” katanya.

Dr Nur Kareelawati yang terlibat dalam aktiviti NADI bersama komuniti di Taman Bukit Kaya, Kangar, Perlis berkata, pendekatan berasaskan komuniti penting bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar memberi manfaat.
Beliau berkata, kerjasama dengan sekolah, jawatankuasa kampung, persatuan penduduk dan institusi pendidikan boleh diperluas bagi memastikan latihan yang disediakan selari dengan keperluan setempat.
Dalam masa sama, aspek etika digital perlu menjadi sebahagian daripada pendidikan agar masyarakat mempunyai keupayaan menilai maklumat, mengelakkan penipuan dalam talian, menjaga keselamatan data dan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi boleh berfikir dengan matang dan membuat keputusan yang baik ketika berada dalam ruang digital,” katanya.

Beliau turut melihat potensi NADI membantu suri rumah, peniaga kecil dan golongan muda menggunakan teknologi untuk membangunkan sumber pendapatan.
Antaranya termasuk pemasaran produk, pengurusan perniagaan, penciptaan kandungan dan penggunaan platform digital.
Menurutnya, pendekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi NADI wajar terus diperkukuh supaya manfaat infrastruktur digital dapat diterjemahkan kepada peningkatan kemahiran dan peluang masyarakat.
“Matlamat akhirnya ialah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik digital, tetapi bijak, beretika dan mampu menggunakan teknologi untuk memperbaiki kehidupan mereka,” kata beliau.





