SEORANG lelaki berusia 37 tahun yang ditahan kerana disyaki cuba mencuri kabel di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), 15 Oktober lalu, turut didapati memiliki dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali, berkata suspek ditahan di Kilometer 26.6 lebuh raya berkenaan, dari arah Bukit Lanjan menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, kira-kira jam 12.40 tengah malam.
Menurutnya, suspek dikesan seorang kontraktor kecil yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pasukan Kenderaan Peronda Bergerak Lebuhraya (EMPV) NKVE.
“Pasukan peronda sedang menjalankan tugas rutin pencegahan kemalangan dan penguatkuasaan trafik sebelum menerima maklumat mengenai kegiatan mencuri kabel yang disyaki itu.
“Setibanya di lokasi, pasukan berkenaan menemui suspek yang sudah ditahan oleh kontraktor kecil terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Buletin TV3.
Mohammed Hasbullah berkata, pemeriksaan terhadap suspek dan beg silang hitam miliknya menemukan beberapa jenis bahan disyaki dadah.
“Antaranya, 0.5 gram daun kering dipercayai ganja, enam paket mengandungi 5.5 gram bahan disyaki methamphetamine dan dua pil yaba seberat 0.5 gram. Polis turut menemui sebiji botol yang dipercayai digunakan untuk mengambil dadah,” katanya.
Beliau berkata, kontraktor kecil terbabit turut menyerahkan beberapa barangan yang dipercayai berkaitan cubaan mencuri kabel itu, termasuk kabel elektrik, gergaji tanpa wayar, bateri gergaji, sebatang pengumpil, pisau utiliti, lampu suluh dan 10 cakera pemotong.
Katanya, suspek ditahan manakala semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Semalam, kegiatan pencurian kabel dilaporkan terus menyasarkan infrastruktur pengangkutan, termasuk Laluan MRT Kajang dan NKVE.
Dalam kejadian membabitkan Laluan MRT Kajang, kabel sepanjang kira-kira 100 meter didapati dipotong antara stesen Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara pada awal pagi.





