EMPAT ditahan termasuk seorang remaja berusia 16 selepas dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel sekitar Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tiga daripada suspek merupakan lelaki tempatan manakala seorang warga asing.
Katanya, aksi kejar-mengejar berlaku di Jalan Songket sebelum kesemua suspek ditahan di Jalan Bunga Raya, Majidee.
“Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 26 tahun.
“Suspek 16 tahun masih bersekolah manakala tiga yang lain tidak bekerja,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambahnya, dalam kejadian Sabtu, kira-kira pukul 5.15 pagi itu, pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan bagi mencuri kabel serta kabel.
“Hasil semakan rekod lampau, dua daripada suspek memiliki rekod berkaitan dadah dan mencuri kabel.
“Tiga daripada suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Raub berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Bagi suspek warga asing pula disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan itu berjaya menyelesaikan enam kes kecurian kabel di kawasan Johor Bahru.


