KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesan taktik penyalahgunaan fleet card dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi selepas merampas 11,900 liter bahan api itu menerusi serbuan di sebuah stor haram di Rawang, Selangor hari ini.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata serbuan kira-kira 10.30 pagi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 68 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu lori tangki.
Katanya, selain diesel bersubsidi, pihaknya turut menyita sebuah lori tangki, 12 tangki jenis intermediate bulk container (IBC) dan sebuah pam penyedut, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM82,482.
“Modus operandi sindiket ini dikesan menggunakan taktik pemalsuan dan penyalahgunaan fleet card. Pihak ketiga akan membeli diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak berhampiran menggunakan fleet card, sebelum minyak berkenaan dipindahkan terus ke dalam lori pembeli.
“Minyak yang dikumpulkan kemudiannya dibawa dan disimpan di stor haram di Rawang sebelum disedut menggunakan lori tangki untuk dihantar dan dijual kepada pihak industri atau pembeli lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Hanif berkata kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta meneliti rantaian pengedaran diesel berkenaan.
Beliau berkata kes itu turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].





