![]()
ADEGAN politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mula menarik perhatian apabila Ketua Pemuda Bersatu Jefri Safry meninggalkan parti tersebut untuk menyertai parti Wawasan yang diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pada masa sama Hamzah turut mengumumkan Perikatan Nasional (PN) mahu mempertahan dua kerusi yang dimenangi oleh Bersatu pada PRN lalu iaitu DUN Bemban dan Sungai Udang.
Dua DUN tersebut dimenangi oleh dua orang doktor iaitu Dr Mohd Yazril Yaakub (Bemban) dan Dr.Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) pada PRN lalu. Kedua-dua mereka kini bersama Wawasan.
*Desas-desus Bersatu bekerjasama dengan PH antara faktor Jefri keluar parti
Jefri yang merupakan Ketua Bersatu Jasin berkata, keputusan keluar Bersatu dibuat kerana pendiriannya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti, khususnya berhubung desas-desus kemungkinan kerjasama politik antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perjuangan politik seharusnya berteraskan prinsip, keikhlasan dan kepentingan rakyat, bukannya semata-mata percaturan kuasa atau kepentingan politik tertentu, lapor Harian Metro.
“Penyertaan dalam Wawasan membuka ruang baharu untuk meneruskan perjuangan yang memberi penekanan kepada penyatuan ummah, perpaduan masyarakat dan pembelaan nasib rakyat.
“Parti boleh berubah, wadah perjuangan boleh bertukar, tetapi janji saya kepada rakyat tetap menjadi tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Saya tidak akan meninggalkan masyarakat yang selama ini bersama saya. Selagi Allah memberikan kesihatan, kekuatan dan rezeki, saya akan terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

*’’Berilah kami pertahan kerusi kami menang’’ – Hamzah
Sementara itu Hamzah pula menjelaskan, langkah PN untuk bertanding di Bemban dan Sungai Udang adalah bertepatan dengan pendirian UMNO yang akan mempertahan 21 kerusi yang disandangnya.
“Kalau konsepnya UMNO kata mereka hendak mempertahankan kerusi yang mereka menang, kenapa pula mereka tak nak beri saya (Wawasan) mempertahankan kerusi untuk kami menang? Kalau mereka hendak kerusi kami, kami boleh bagi tetapi duduklah sama-sama. Kita bincang kerusi yang sesuai dan kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun Barisan Nasional (BN),” katanya di Jasin.
Katanya, Wawasan tidak menolak keperluan menyusun semula pembahagian kerusi, namun rundingan itu perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.
Hamzah ketika mengulas lanjut, berkata tidak seharusnya hasrat partinya diketepikan hanya kerana terdapat parti lain yang turut berminat bertanding di kawasan dua kawasan tersebut.
“Kalau mereka hendak kerusi mana-mana sekalipun boleh, tetapi saya hendak maklumkan kami hendak pertahankan kerusi kami. Kalau mereka hendak, kenalah duduk dengan kami untuk kita bincangkan kerusi yang sesuai,” katanya.
Dalam lalu kedua-dua kerusi itu dimenangi oleh Bersatu dengan majoriti di bawah 1,000 undi.
Dr.Mohd Yadzil yang mendapat 4,211 undi memenangi kerusi Bemban dengan majoriti 328 undi selepas menewaskan empat calon lain dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Di Dun Sungai Udang, Dr.Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi selepas memperolehi 6,789 undi untuk mengalahkan tiga calon lain dari BN, PH dan Bebas.





