SEORANG jururawat maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjunam kira-kira 30 meter ke sungai di Kilometer 20, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Nalapak, di Ranau, hari ini.
Mangsa, Nancy Kitingon, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, mangsa memandu kenderaan jenis Isuzu D-Max dari arah Telupid sebelum kenderaan itu melanggar penghadang di sebelah kiri jambatan lalu terjunam ke sungai.
“Kenderaan mangsa dipercayai berada dalam keadaan terbalik sebelum penduduk kampung tampil memberikan bantuan. Bagaimanapun, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan, jam 2 petang, di lokasi kejadian,” katanya lapor Buletin TV3.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tujuh anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu sebelum memberikan rawatan awal dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.





