PENGGUNAAN helikopter dan pesawat pengebom air merupakan bantuan yang dipertimbangkan bagi membantu operasi memadamkan kebakaran di hutan di Indonesia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia tidak boleh berdiam diri memandangkan kebakaran hutan di Indonesia turut memberi kesan kepada negara serantau.
Bagaimanapun kata beliau, sebarang operasi bantuan perlu mengambil kira faktor keselamatan.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran berdepan cabaran besar kerana lokasi kebakaran jauh di kawasan pedalaman, selain jerebu tebal yang menjejaskan jarak penglihatan.
“Memang susah untuk menghantar trak atau peralatan lain kerana kebakaran berlaku jauh di pedalaman. Pilihan yang ada ialah memadamkan kebakaran menggunakan pesawat, tetapi pesawat juga berdepan masalah untuk terbang disebabkan ketebalan jerebu.
“Jarak penglihatan dilaporkan tidak sampai 50 meter, manakala indeks pencemaran di kawasan Kalimantan mencecah 1,000,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan pasukan Jepun yang sebelum ini terbabit dalam usaha membantu operasi terpaksa pulang kerana tidak dapat meneruskan misi.
Beliau berkata demikian selepas menutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) ke-10, di Ayer Keroh, hari ini, lapor Buletin TV3.
Jumaat lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas di negara itu, susulan keputusan Presiden Prabowo Subianto meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran.
Mohamad berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengadakan rundingan dengan rakan sejawat masing-masing berhubung perkara itu.
“Hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan untuk menghantar bantuan bersesuaian,” katanya
Katanya, Malaysia akan memastikan sebarang bantuan udara dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan risiko terhadap juruterbang dan anggota yang terbabit.





