KEMARAHAN di media sosial dan kecenderungan menghakimi sesuatu kes berdasarkan pendapat umum semakin mengancam kebebasan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Katanya hakim perlu memberi tumpuan kepada usaha menegakkan keadilan dan bukannya mengejar populariti atau penerimaan masyarakat terhadap keputusan mahkamah.
Ketika menyampaikan syarahan akademik kepada pelajar undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini, beliau berkata badan kehakiman perlu membezakan antara keyakinan masyarakat terhadap institusi itu dengan usaha mendapatkan persetujuan atau sokongan orang ramai.
“Menjadi tugas kita sebagai hakim bukan untuk menjadi popular. Tugas kita adalah untuk membuat keputusan yang betul,” katanya ketika membincangkan persoalan sama ada badan kehakiman mampu bertahan berdepan penghakiman di mahkamah persepsi awam.
Wan Ahmad Farid berkata, penghakiman mahkamah yang panjang sering dipendekkan kepada tangkap layar sebelum disebarkan di media sosial, menyebabkan orang ramai membentuk pendirian tanpa memahami alasan sebenar di sebalik sesuatu keputusan
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membaca penghakiman penuh, termasuk pendapat berbeza hakim jika ada, sebelum membuat penilaian terhadap sesuatu kes.
Beliau berkata, kebebasan badan kehakiman sering dipuji apabila keputusan memihak kepada sesuatu pihak, tetapi dipersoalkan apabila keputusan yang dikeluarkan tidak memenuhi kehendak pihak berkenaan.
“Itu bukan analisis. Itu semata-mata sikap kepartian yang tidak berasas, dalam bentuknya yang paling buruk,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui sejarah badan kehakiman negara turut menyaksikan episod kontroversi, termasuk krisis kehakiman 1988 dan kontroversi video “correct, correct, correct” pada 2007.
Menurutnya, kecurigaan masyarakat terhadap badan kehakiman dalam keadaan tertentu mungkin mempunyai asas. Oleh itu, institusi berkenaan perlu mengakui kelemahan sendiri dan membina semula keyakinan awam melalui pembetulan yang jujur.
“Sebuah institusi yang tidak mampu bercakap secara jujur mengenai sejarahnya sendiri tidak boleh meminta orang ramai memberikan kepercayaan kepadanya,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kebimbangan terhadap reaksi negatif di media sosial boleh mempengaruhi pertimbangan hakim, sekali gus menjejaskan kebebasan kehakiman walaupun tanpa campur tangan secara langsung.
Bagi memperkukuh keyakinan masyarakat, Wan Ahmad Farid mencadangkan supaya mahkamah menyediakan ringkasan penghakiman dalam bahasa yang mudah difahami, menerbitkan keputusan dengan segera serta memastikan prosedur aduan yang telus dan kod etika kehakiman yang berwibawa.
Beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap keputusan mahkamah adalah sebahagian daripada proses yang sihat. Namun, serangan peribadi terhadap hakim dan usaha menggambarkan mereka sebagai musuh masyarakat boleh menghakis penghormatan terhadap institusi kehakiman.
“Mahkamah persepsi awam beroperasi berdasarkan populariti dan kadangkala data yang belum disahkan. Mahkamah undang-undang pula beroperasi berdasarkan kesahan undang-undang,” katanya.
Ditanya sama ada badan kehakiman mampu bertahan daripada penelitian dan kritikan masyarakat, beliau memberikan jawapan tegas: “Ya.”





