Sekatan hijab di sekolah Azerbaijan: Majlis Ulama Pas gesa OIC, negara Islam tidak diam 

MAJLIS  Ulama Pas Pusat mengecam sekeras-kerasnya dasar serta tindakan kerajaan Azerbaijan yang menyekat dan melarang pelajar perempuan memakai hijab di sekolah.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah menegaskan, memaksa golongan muda memilih antara hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dengan kewajipan mematuhi tuntutan agama merupakan satu bentuk ketidakadilan yang mendalam, penindasan psikologi serta pencabulan nyata terhadap kebebasan beragama.

‘’Larangan pemakaian hijab di institusi pendidikan dilihat sebagai satu usaha sistematik untuk menghakis identiti dan nilai Islam dalam kalangan generasi muda,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tindakan menguatkuasakan fahaman sekularisme secara keras sehingga mengorbankan kewajipan agama umat Islam merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan.

‘’Dalam menghadapi penindasan ini, Majlis Ulama Pas  Pusat mempersoalkan sikap masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang sebelum ini lantang memperjuangkan kebebasan bersuara serta hak wanita,’’ tegasnya.

Sikap dwistandard dunia hari ini, menurut majlis itu amat ketara.

‘’Apabila muncul gerakan yang menuntut wanita menanggalkan hijab atau menggalakkan pemakaian pakaian bercirikan Barat atas nama “kebebasan”, sokongan daripada masyarakat antarabangsa dan media global sering mendapat perhatian,’’ katanya.

Namun,  kata Majlis Ulama Pas, pabila pelajar perempuan Islam didakwa dipaksa menanggalkan hijab, dihalang memasuki bilik darjah dan berdepan sekatan terhadap hak mereka untuk mengamalkan ajaran agama ketika menuntut ilmu, dunia seolah-olah memilih untuk berdiam diri dan menutup mata.

‘’Majlis menyifatkan percanggahan sikap ini sebagai sesuatu yang amat dikesali serta mempersoalkan asas retorik hak asasi manusia yang didukung negara-negara Barat,’’ katanya.

Sehubungan itu, akat beliau,  Majlis Ulama Pas Pusat menegaskan pendirian berikut:

Pertama, menyeru umat Islam di seluruh dunia serta masyarakat antarabangsa yang menjunjung keadilan supaya bangkit menyuarakan bantahan secara terbuka terhadap tindakan yang didakwa mencabuli hak pendidikan dan kebebasan beragama di sekolah-sekolah Azerbaijan.

Kedua, menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kerajaan negara-negara Islam dan para ulama antarabangsa supaya mengambil tindakan sewajarnya dan tidak berdiam diri.

OIC perlu memanfaatkan saluran diplomatik untuk mendesak pihak berkuasa Azerbaijan supaya segera menarik balik dasar pendidikan yang bersifat Islamofobia itu.

Ketiga, menyatakan solidariti penuh kepada umat Islam di Azerbaijan, khususnya ibu bapa dan pelajar, agar terus tabah, istiqamah serta bersatu dalam mempertahankan kepercayaan dan hak beragama anak-anak mereka. Majlis menegaskan bahawa kebenaran akhirnya akan mengatasi segala bentuk penindasan.

‘’ Majlis Ulama PAS Pusat menegaskan bahawa institusi pendidikan seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk membentuk akhlak, memperkaya ilmu dan mengembangkan pemikiran, bukannya medan diskriminasi berasaskan agama,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here