![]()
PENULIS tidak pasti apakah pandangan negara-negara Islam terutamanya negara-negara Arab yang menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden Donald Trump secara terbuka menyatakan sokongan penuh kepada sekutunya, Benjamin Netanyahu untuk mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri Israel – sebuah negara pengganas.
Tindakan Trump itu bermaksud ia ‘memberi lesen membunuh’ kepada penjenayah antarabangsa Netanyahu meneruskan agendanya untuk menghapuskan rakyat Palestin khususnya di Gaza dan seterusnya mengekalkan penjajahan rejim Zionis di bumi Palestin.
Ternyata sekali Trump mahu meneruskan dasarnya memberi sokongan kepada Netanyahu bukan sahaja untuk menghancurkan Gaza tetapi memusnahkan Iran dan Lubnan. Adalah sesuatu yang menjijikkan apabila Trump yang pernah dianggap sebagai pendamai oleh segelintir pemimpin negara Islam berikutan pelan damai palsunya di Gaza menyifatkan Netanyahu sebagai seorang “Perdana Menteri pejuang yang hebat”.
Lebih menjijikkan apabila beliau menganggap Netanyahu rakan dalam usaha mencapai keamanan, selain memuji peranan Israel bersama AS dalam melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu.
“Bibi Netanyahu kekal kuat, berani dan cemerlang dalam menghadapi tentangan hebat, termasuk yang datang dari dalam Israel sendiri,” tulis Trump menerusi hantaran di Truth Social.
Menurut Trump, Netanyahu bukan sahaja mampu bertahan ketika berdepan tekanan hebat, malah menjadi semakin kuat dalam menghadapinya.
Sokongan Trump ternyata menggembirakan Netanyahu apabila penjenayah antarabangsa itu mengucapkan terima kasih kepada Presiden AS tersebut dengan berkata, “Bersama-sama kita akan menyelesaikan misi ini!”
Netanyahu gembira kerana biarpun di Gaza beliau telah membunuh 74, 389 orang yang 70 peratusnya wanita dan kanak-kanak, walaupun telah menyebabkan 175,423 orang cedera serta memusnahkan 90 peratus wilayah Palestin itu namun Trump menyanjung beliau sebagai ‘kuat,berani dan cemerlang’.
Berikutan sokongan Trump itu sudah pasti ialah akan menyebabkan Netanyahu semakin ‘kuat’ menyerang negara Islam, semakin ‘berani’ membunuh rakyat Palestin dan akan bertambah ‘cemerlang’ menjajah mana-mana wilayah negara Islam dengan sokongan AS.
Trump yang dianggap Presiden AS paling buruk dalam sejarah negara itu, sama sekali tidak takut untuk memberi sokongan kepada Netanyahu walaupun ia boleh menimbulkan kemarahan masyarakat dunia khususnya negara Islam. Ia kerana badan-badan dunia tidak kira sama ada Majlis Keselamatan PBB mahupun OIC atau Liga Arab, mereka tidak boleh atau tidak mahu berbuat apa-apa untuk menghentikan kegilaan Trump dan Netanyahu.
Malah ada negara Arab yang bersedia menjadikan negara mereka sebagai pangkalan tentera AS sehingga membolehkan AS menggunakan pangkalan itu untuk menyerang negara Islam lain sepertimana dialami oleh Iran.
Penulis tidak menafikan ada negara Islam yang bersekongkol dengan Israel turut memberi bantuan kemanusiaan kepada Palestin tetapi apa gunanya bantuan itu, kalau ia ibarat di hadapan menyuap makanan, di belakang bersubahat dengan musuh membunuh rakyat negara tersebut.
Jika dalam pilihan raya Israel Netanyahu berjaya mengekalkan kuasa atau dipilih sebagai Perdana Menteri sekali lagi, percayalah Netanyahu akan menjadi semakin ganas untuk memastikan bumi Palestin khususnya Gaza hancur…sehancur-hancurnya dan akan menyerang negara Islam yang lain pula atas alasan demi keamanan dan keselamatan Israel.
Perlu diingat, Trump akan mengakhiri tugasnya sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2029, bayangkan dengan ‘lesen membunuh’ yang diberikan kepada Netanyahu, apa yang boleh pengganas zionis itu lakukan terutamanya terhadap negara Islam dalam tempoh berkenaan.
Jangan bermimpi negara-negara Islam akan bangkit melawan Israel, keadaan itu sama sekali tidak akan berlaku. Yang kita akan dengar ialah ‘mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya’ dan pastinya sekelumitpun ia tidak akan menggentarkan Netanyahu dan rejim Zionis. Pembunuhan dan penjajahan yang terus berlaku di Gaza sehingga ke hari ini adalah bukti sikap hipokrit negara Islam khususnya negara Arab melawan kejahatan Israel.





