Dr.Mahathir zahirkan penghargaan,terima kasih atas doa, sokongan semua pihak

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta mereka yang tidak putus-putus mendoakan keluarga beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Mahathir turut memaklumkan beliau telah cuba kembali ke pejabat sejak beberapa hari lalu, namun keadaan kesihatannya masih belum begitu kuat.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas doa dan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak sejak pemergian isterinya, yang menurutnya amat bermakna buat beliau dan keluarga dalam menghadapi saat kehilangan tersebut.

Dr Mahathir yang berusia 101 tahun itu berkata, doa dan sokongan yang diterima mengingatkan beliau bahawa di sebalik kesedihan yang amat mendalam, beliau masih bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk bersama Tun Dr Siti Hasmah dalam tempoh yang begitu panjang sepanjang kehidupannya.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya terdapat salam, ucapan takziah dan mesej yang masih belum dapat dibalas sepanjang tempoh beliau dan keluarga menguruskan urusan berkaitan pemergian Allahyarhamah.

Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 13 Oktober lalu dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya mengikut Istiadat Pengebumian Negara pada hari yang sama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here