![]()
SEMALAM Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, parti itu berhasrat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Kata Hamzah, jika UMNO mahu mengekalkan 21 kerusi disandang adalah menjadi hak Wawasan bertanding dua kerusi itu berdasarkan konsep ‘pertahankan kerusi menang’ pada PRN lalu.
“Kalau konsepnya UMNO kata mereka hendak mempertahankan kerusi yang mereka menang, kenapa pula mereka tak nak beri saya (Wawasan) mempertahankan kerusi untuk kami menang? Kalau mereka hendak kerusi kami, kami boleh bagi tetapi duduklah sama-sama. Kita bincang kerusi yang sesuai dan kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun Barisan Nasional (BN),” katanya di Jasin.
Persoalannya adakah Wawasan berhak berbuat demikian sedangkan kerusi itu asalkan dimenangi oleh Bersatu walaupun kedua-dua penyandangnya iaitu Dr.Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) dan Dr.Mohd Yadzril Yaakub kini menyertai Wawassan.
Berikut pandangan Pensyaran Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Dr. Abdul Aziz Azizam:
Pada pandangan saya, kebijaksanaan Wawasan dalam rundingan kerusi di PRN Melaka kali ini adalah sangat penting untuk menjadi penanda aras sama ada parti tersebut mampu bekerjasama dengan gabungan dengan baik ataupun tiadak.
Tindakan ini akan memberi kesan jangkamasa panjang kepada mereka. Jika mereka perlukan satu penyatuan yang padu, mereka perlu menunjukkan sikap toleransi dan kematangan dengan baik.
Kita perlu memahami bahawa Wawasan merupakan sebuah parti yang masih baharu dan masih belum ada bukti kekuatan organisasinya, khususnya dari segi struktur cawangan, jentera pilihan raya dan sokongan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Ini berbeza dengan UMNO yang mempunyai pengalaman panjang,dan struktur akar umbi yang mantap dan persediaan pilihan raya yang telah dibina lebih awal. Jika tuntutan pembahagian kerusi dibuat tanpa mengambil kira faktor-faktor ini, ia berisiko menjejaskan peluang kemenangan bersama.
Oleh itu, apabila Wawasan menuntut hak untuk mempertahankan kerusi Sungai Udang dan Bemban, tuntutan tersebut perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan kedudukan bekas ADUN yang kini menyertai parti itu, tetapi juga berdasarkan kemampuan sebenar parti untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Tambahan pula, secara logiknya kedua-dua kerusi tersebut dimenangi dengan majoriti yang boleh dikatakan sedikit iaitu bawah 600 undi, maka adalah lebih baik parti Wawasan memberi laluan dan membantu UMNO untuk kedua-dua kerusi ini sebagai satu tanda hormat dan isyarat kepada umum berkenaan kemampuan toleransi yang baik ke atas kerjasama ini.
Saya tidak menolak kemungkinan Wawasan mempunyai calon yang berpotensi dan mampu memberikan sumbangan kepada gabungan. Namun, rundingan politik memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan sikap saling menghormati. Wawasan perlu memberikan ruang kepada proses rundingan dan membina keyakinan rakan gabungan terlebih dahulu.
Jangan sampai keghairahan untuk mendapatkan kerusi menyebabkan hubungan sesama rakan politik menjadi tegang. Dalam politik, bukan sahaja penting untuk kita mendapatkan tempat, tetapi lebih penting untuk kita memastikan bahawa tempat yang diberikan itu benar-benar membawa nilai tambah kepada kemenangan bersama, dan yang paling penting sekali bukan semata-mata untuk memenangi pada PRN ini malah kerjasama jangkamasa Panjang antara parti yang perlu difikirkan Wawasan.
Pada masa yang sama, kepimpinan Wawasan termasuk Hamzah, perlu membina suasana rundingan yang sihat dan menunjukkan bahawa parti itu bersedia menjadi rakan gabungan yang konstruktif.
Wawasan memerlukan sokongan memperkukuh kedudukannya dalam landskap politik negara. Justeru, pendekatan yang terlalu mendesak boleh menimbulkan persepsi negatif dan menyukarkan usaha membina kepercayaan dalam kalangan rakan politik serta rakyat.





