Tanding di Sungai Udang, Bemban: Wawasan wajar diberi ruang dalam rundingan, kata Dr Nur Ayuni

HASRAT parti Wawasan  mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar diberi ruang untuk dibincangkan melalui rundingan bersama.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka 2021, manakala penyandangnya kini bersama Wawasan.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam konteks usaha kerjasama UMNO dan Pas menghadapi PRN Melaka, pembahagian kerusi perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira semangat permuafakatan, persefahaman dan kepentingan bersama.

‘’Kerjasama politik bukan sekadar memenuhi tuntutan setiap parti, sebaliknya memerlukan toleransi dan kesediaan untuk mencari titik persamaan bagi meningkatkan peluang kemenangan, ‘’ kata utusanmelayuplus.

 

Dr Nur Ayuni berkata, landskap politik Melaka ketika ini juga tidak semestinya sama seperti pada PRN 2021, susulan perubahan jajaran politik, perkembangan sokongan pengundi serta perpecahan dalaman Bersatu yang berpotensi mempengaruhi pola pengundian.

‘’Justeru, kemenangan pada pilihan raya lalu tidak semestinya menjamin pola sokongan sama akan berulang pada pilihan raya akan datang. Prinsip mempertahankan kerusi yang pernah dimenangi boleh dijadikan asas rundingan, namun ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya pertimbangan dalam menentukan calon dan kawasan yang bakal ditandingi,’’ katanya.

Sebaliknya kata beliau, kekuatan jentera parti, penerimaan calon, sokongan akar umbi serta kebolehmenangan perlu turut dinilai bagi memastikan pembahagian kerusi mencerminkan realiti politik semasa.

‘’Dalam hal ini, Wawasan juga dilihat mempunyai ruang untuk menilai peluang politik secara lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada Sungai Udang serta Bemban.

‘’Sekiranya penilaian bersama mendapati UMNO mempunyai kelebihan dari segi kebolehmenangan di Sungai Udang, kemungkinan memberi laluan kepada parti itu boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada persefahaman politik yang lebih besar,’’ katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sebarang keputusan sedemikian perlu disertai rundingan yang turut mengambil kira peluang dan kepentingan Wawasan di kawasan lain.

‘’Bagi parti yang sedang membina kedudukan politik seperti Wawasan, pendekatan lebih fleksibel dalam rundingan berpotensi membuka ruang kerjasama dan memperkukuh kedudukannya untuk jangka panjang,’’ katanya.

Menurut Dr Nur Ayuni, dalam politik gabungan, kejayaan tidak semestinya diukur berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi semata-mata, tetapi turut bergantung pada kemampuan membina pengaruh, memperoleh kepercayaan rakan kerjasama dan meningkatkan peluang kemenangan.

‘’Kekuatan kerjasama politik bukan hanya terletak pada kesediaan parti untuk bekerjasama, tetapi juga kemampuan mengurus perbezaan kepentingan melalui rundingan dan sikap saling menghormati.

‘’Jika matlamatnya adalah untuk memperkukuh kerjasama UMNO dan PAS serta meningkatkan peluang kemenangan pada PRN Melaka, penyelesaian yang adil dan saling menguntungkan perlu menjadi keutamaan semua pihak,’’ tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here