RM4.3 bilion dibekukan, aset RM1 bilion disita dalam siasatan mafia korporat – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman telah membekukan aset bernilai RM4.3 bilion dan menyita RM1 bilion susulan beberapa siri siasatan kes jenayah ‘mafia korporat’ antara akhir 2022 hingga September lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan AMLA turut melucut hak RM48.3 juta dan mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion bagi kes sama dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sama ada tindakan itu membabitkan aset, wang tunai, ekuiti atau simpanan dalam akaun milik pesalah yang dikenakan tindakan berkaitan jenayah ‘mafia korporat’.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dana bernilai RM37.53 bilion membabitkan kes sama, namun tidak memperincikan tempoh rampasan berkenaan dilakukan.

“Dalam konteks ini (rampasan oleh BNM dan SPRM), sebahagian daripadanya iaitu RM28 bilion, membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hutangnya.

“Sejumlah RM28 bilion daripada RM37.53 bilion ini untuk menyelesai atau melangsaikan hutang 1MDB,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kegiatan jenayah yang dikaitkan dengan ‘mafia korporat’ di negara ini berpunca daripada kelemahan sistem dan ketelusan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Menurut beliau, masalah itu menyaksikan pelbagai kes berprofil tinggi berlaku sejak era 1980-an, termasuk dakwaan sebuah syarikat gergasi, Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB) dipaksa untuk dijual.

Beliau berkata, kelemahan berkenaan turut membuka ruang kepada pelbagai kegiatan, antaranya pembelian dan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan korporat serta aktiviti pinjaman wang haram yang disertai ugutan.

Anwar turut membangkitkan dakwaan bahawa beberapa kes berkenaan mempunyai kaitan dengan Menteri Kewangan ketika itu, yang dikatakan mempunyai pengaruh serta sumber kewangan yang besar.

“Umpamanya, syarikat dimiliki Lim Tian Kiat, dijual kepada kumpulan diketuai Datuk Seri Akbar Khan dan Chan Ching Tiung selain ini semua dikaitkan dengan Menteri Kewangan ketika itu.

“RHB Bank yang dikelolakan Tan Sri Abdul Rashid Hussein tetapi beliau dipaksa melepaskan pegangan dan akhirnya kehilangan penguasaan (dalam syarikat berkenaan). Ini pun yang memiliki adalah orang ada kaitan dengan bekas Menteri Kewangan.

“Phileo Allied Bank, antara bank berkembang pesat ketika itu, dipaksa untuk disatukan dan atas arahan bekas Menteri Kewangan, tetapi dilepaskan kerana kepentingan bekas menteri dalam Langkah Sdn Bhd yang kemudiannya memiliki (pegangan syarikat terbabit),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berhubung perkembangan terkini dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’, termasuk pelanggaran undang-undang dan tindakan yang telah diambil.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here