Anwar puji usaha Siti Nurhaliza tonjolkan warisan budaya pelbagai kaum

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kagum terhadap usaha Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, mengetengahkan kepelbagaian seni dan warisan budaya menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Beliau berkata, kehadirannya pada persembahan yang berlangsung malam minggu lalu itu bukan sahaja bagi memenuhi jemputan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa malah untuk menghayati persembahan lagu etnik kreatif yang dipersembahkan.

“Saya hadir juga walaupun lambat sedikit, tetapi kerana ini, saya ditegur beberapa rakan, terima kasih kepada yang menegur. Saya ini ada kelemahan, saya minat juga lagu, bukan sahaja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat.

“Pertunjukan berkenaan, Tan Sri Yang Dipertua (Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) nampak begitu tekun mendengar, memperkasa budaya Melayu, ada wayang kulit, tarian tradisional, pertunjukan Sabah dan Sarawak.

“Semuanya memberikan kebanggaan terhadap kekuatan warisan, lagu klasik dan budaya Melayu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Konsert anjuran SN Legacy yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berjaya menghimpunkan kira-kira 63,000 penonton meskipun berdepan keadaan hujan.

Persembahan berkenaan turut mencuri perhatian apabila penyanyi Noraniza Idris kembali berduet bersama Siti Nurhaliza selepas lebih 20 tahun tidak berkongsi pentas menerusi lagu duet mereka.

Selain Anwar, konsert itu turut mendapat sokongan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here