PM zahir dukacita atas pemergian tokoh filem L Krishnan

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh perfileman negara, Tan Sri Lakshmanan Krishnan atau lebih dikenali sebagai L Krishnan.

Menerusi hantaran di Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, mendiang adalah bekas pelajar High School Bukit Mertajam dan antara tokoh terawal yang mencorakkan perkembangan filem Melayu.

Menurutnya, sebagai pengarah, mendiang menghasilkan karya penting pada era 1950-an dan 1960-an bersama Shaw Brothers, Malay Film Productions, Cathay-Keris dan Merdeka Studios.

“Antara karya arahan mendiang termasuk Bakti, Keris Sempena Riau dan Selendang Merah.

“Mendiang turut dikenang kerana membimbing dan menggilap bakat ramai bintang ternama antaranya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof, M Amin dan Rosnani Jamil,” katanya dalam hantaran itu malam ini.

Anwar berkata, lebih enam dekad dalam dunia filem, iklan dan muzik mendiang Krishnan meninggalkan legasi besar dalam industri seni serta budaya negara.

“Pastinya jasa dan sumbangan mendiang dalam memperkaya khazanah seni tanah air akan terus dikenang.

“Takziah kepada seluruh keluarga. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Media hari ini melaporkan, pengarah filem veteran, mendiang Krishnan meninggal dunia pada usia 104 tahun di Chiang Mai, Thailand akibat sakit tua.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here