PM salur bantuan awal RM2,000 kepada waris 2 beradik maut kemalangan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan bantuan awal RM2,000 kepada keluarga mangsa tiga beradik yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Perpaduan, Tambun di Ipoh pagi ini.

Sumbangan itu disampaikan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Muhammad Izzudin Hariz Bohari yang mewakili Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Ashraf Kahasani berkata, Perdana Menteri sendiri yang meminta wakil pusat khidmat menyampaikan bantuan awal kepada keluarga mangsa terbabit.

“Perdana Menteri yang menelefon (Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri), telah menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa dan minta kita berikan sumbangan terus kepada waris, untuk membantu meringankan beban.

“Sekiranya ada bantuan susulan untuk seorang lagi mangsa yang cedera dan sedang dirawat di hospital, mungkin kita akan fokus untuk bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan di rumah keluarga mangsa di Taman Bagus, Tambun di Ipoh, lapor Bernama.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 7.20 pagi tadi, remaja perempuan berusia 19 tahun yang menunggang motosikal dan adiknya yang berusia sembilan tahun, maut dalam kejadian.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa berusia 12 tahun yang turut membonceng motosikal berkenaan, cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Sementara itu, murid tahun enam, Norhayati Qaliesha Ibrahim yang terselamat dalam kemalangan itu, masih belum mengetahui kakak dan adik bongsunya meninggal dunia.

Kakak sulung mangsa Nurul Aeina, 28, berkata, berita belum dimaklumkan kepada Norhayati kerana keadaannya yang masih kritikal.

Nurul Aeina berkata, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa tiga adiknya itu daripada guru sekolah mereka kira-kira jam 8 pagi.

“Bila saya pergi ke lokasi, barulah saya diberitahu yang mereka sudah tiada,” katanya yang sedang sarat hamil lapan bulan.

Dua mangsa yang meninggal dunia iaitu Elyana Nasuha dan adiknya Suhaila, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun di Ipoh kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya menanggung kos pengurusan jenazah dua adik-beradik berkenaan dan bantuan lain yang sewajarnya untuk mangsa yang cedera parah.

“Pihak MAIPk menyediakan bantuan pengurusan jenazah untuk waris yang tidak berkemampuan dan jenazah tanpa waris,” katanya dalam kenyataan malam ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here