PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) akan memberi kesan terhadap keyakinan penyokong-penyokong gabungan itu, kata Prof Madya Dr. Mazlan Ali.
Beliau yang Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur berkata, sebelum ini mereka menyokong PN bukan atas sebab parti-parti tertentu.
‘’ Mungkin Pas dominan dalam PN tapi ada penyokong-penyokong yang menyokong Perikatan Nasional bukan atas sebab Pas. Mungkin atas sebab mereka yakin dengan koalisi PN yang mampu menjadi alternatif kepada kerajaan,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.

Beliau berkata, kini apabila PN sudah dibatalkan pendaftarannya dan parti-parti dalam gabungan itu tidak boleh menggunakan lambang PN, ia memang memberi kesan.
‘’Selama ini ramai orang mengenali mereka sebagai PN. Jika tidak boleh lagi digunakan lambang ini dalam kempen juga dan malah bendera juga tidak boleh dikibarkan maka akan memberi kesan.
‘’Penyokong-penyokong akan melihat masalah dalaman PN sehingga akhirnya terbatal Pendaftaran PN itu akan mengikis keyakinan mereka. Ia termasuklah mengenepikan bersatu sebelum ini dalam pilihan Raya di Johor dan juga pilihan raya di Negeri Sembilan,’’ katanya.
Dr.Mazlan berkata, walaupun Bersatu masih anggota PN, tetapi Pas telah mengenepikan Bersatu dan menerima kemasukan parti baru, iaitu Wawasan dan Pejuang menjadi anggota komponen baru dalam PN.
‘’Saya lihat kerjasama antara parti komponen masih baik antara Pas dan parti-parti seperti Gerakan, Wawasan masih baik tetapi dengan Bersatu memang sudah lama mereka putuskan hubungan,’’ katanya.
Oleh itu kata beliau, dengan langkah RoS itu, ia secara tidak langsung akan memutuskan terus hubungan Pas dengan Bersatu kerana mereka tidak lagi berada koalisi yang sama seperti sebelum ini.
‘’Sudah pasti keputusan ROS ini memberi kesan yang besar terhadap persediaan Perikatan Nasional menghadapi PRN Melaka dan pilihan raya umum akan datang.
‘’ Ini kerana Pas, Wawasan, Gerakan dan pejuang tidak boleh menggunakan lambang PM. Jadi, salah satu cara mengatasi adalah menggunakan lambang masing-masing,’’ katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, keadaan itu boleh menyebabkan kesan tidak baik kerana rakyat mungkin akan keliru dan visibiliti parti itu akan menjadi kurang.
‘’Jadi, rakyat tak tahu, mungkin rakyat tak kenal parti Gerakan. Dan Pas yang menggunakan lambang parti itu mungkin akan berdepan kesan sokongan .
‘’Ia kerana sebelum ini Pas, selain daripada negeri SG4, mereka akan gunakan lambang PN yang ternyata dapat menarik sokongan meluas, termasuk sokongan bukan Melayu,’’ katanya.





