Malaysia bersedia kongsi kepakaran, PM sambut baik pemerkasaan Pusat Kecemerlangan IsDB KL

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha memperkasakan Pusat Kecemerlangan Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Kuala Lumpur sebagai hab strategik bagi perkongsian ilmu, teknologi, dan kepakaran.

Menurut Perdana Menteri, pengiktirafan terhadap Malaysia terbukti menerusi pengalaman luas negara dalam memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), memperkukuh daya tahan ekonomi, serta menjana peluang pekerjaan yang kini berpotensi dimanfaatkan oleh negara-negara anggota IsDB.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasser hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Saya turut menegaskan kesediaan Malaysia berkongsi kepakaran dan memperluas kerjasama pembangunan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam hantaran di akaun X rasminya hari ini.

Perkara tersebut dibincangkan semasa sesi pertemuan beliau bersama Pengerusi IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasser hari ini, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan institusi kewangan antarabangsa itu terhadap hala tuju pembangunan serta prinsip tatakelola negara.

“Insya-Allah, kerjasama erat ini akan memperluas peranan Malaysia sebagai rakan pembangunan yang berwibawa sekali gus membawa kepakaran anak bangsa ke pentas dunia,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur yang dilancarkan pada tahun 2019 berperanan sebagai platform utama untuk memindahkan teknologi, kepakaran, serta amalan terbaik dalam kewangan Islam dari Malaysia kepada 56 negara anggota IsDB yang lain.

IsDB yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi, merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan pelbagai hala yang ditubuhkan sejak tahun 1975 demi menyokong pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial negara anggota serta masyarakat Islam sedunia berlandaskan prinsip syariah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here