“Jangan jadikan undang-undang rimba amalan” – Pemuda Pas persoal tindakan tergesa-gesa RoS batal pendaftaran PN

DEWAN Pemuda Pas Malaysia mempersoalkan sama ada wujud tekanan politik atau campur tangan pihak tertentu terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sehingga membawa kepada keputusan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) secara tergesa-gesa.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, seandainya benar terdapat campur tangan politik di sebalik keputusan berkenaan, ia bukan sahaja mencemarkan reputasi dan kewibawaan RoS, malah berisiko menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

“Pemuda Pas Malaysia mengecam tindakan pihak tertentu yang dipercayai cuba menggunakan tekanan politik berhubung perkara tersebut.

“Jangan kerana terlalu ghairah mahu melemahkan PN, akhirnya prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang pula yang dikorbankan. Negara ini ada undang-undang, hormatilah proses mahkamah. Jangan jadikan undang-undang rimba sebagai amalan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

RoS hari ini mengesahkan pendaftaran PN dibatalkan selepas meneliti keseluruhan dokumen serta penjelasan yang dikemukakan gabungan itu pada 12 Oktober lalu.

Menurut jabatan itu, maklum balas yang diterima gagal menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis bertarikh 22 September 2026.

Mengulas tindakan itu, Afnan Hamimi mempertikaikan garis masa keputusan RoS yang dibuat sejurus sebelum kes berkenaan didengar di mahkamah pada 22 Oktober 2026 bagi permohonan penggantungan keputusan dan semakan kehakiman.

“Apa yang peliknya, kes ini sepatutnya dibawa ke mahkamah pada 22 Oktober 2026, tetapi kenapa RoS begitu tergesa-gesa membuat keputusan?. Sedangkan pada 22 Oktober nanti, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menggantung keputusan RoS sementara proses semakan kehakiman diselesaikan. Kenapa tidak tunggu sahaja proses mahkamah? Apa yang terlalu mendesak sampai keputusan perlu dibuat lebih awal?” soal beliau.

Afnan Hamimi turut mendesak agar RoS kekal bertindak secara profesional, bebas, serta berintegriti tanpa membiarkan institusi kerajaan berkenaan dijadikan alat politik bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here