NEGARA-negara ASEAN perlu bekerjasama melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian yang semakin meningkat, biarpun terdapat perbezaan dalam undang-undang mereka dan pendekatan terhadap keselamatan Internet.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, negara-negara di rantau ini berkongsi cabaran untuk memastikan Internet selamat dan perlu mengukuhkan kerjasama itu bagi menangani ancaman itu.
“Internet adalah baik. Internet boleh digunakan untuk tujuan yang baik. Namun, adakah kanak-kanak tahu cara menggunakannya dengan betul?” katanya dalam ucaptama pada Minggu Teknologi Bali 2026 anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia di Bali, hari ini, lapor Bernama.
Fahmi menekankan bahawa Malaysia mahu memastikan kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dapat membuka akaun media sosial, di samping mengaku pendekatan yang diambil mungkin berbeza antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara ASEAN yang lain.
Malaysia mula menguatkuasakan keperluan menentusahkan usia untuk pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun tahun ini bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang diperkenalkan bawah Akta Keselamatan dalam Talian 2025.
Bawah peraturan baharu itu, individu di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial, sementara mereka yang mahu mendaftar perlu menghantar dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID untuk menentusahkan usia mereka.
Malah, algoritma media sosial turut menjadi satu lagi cabaran memandangkan pihak kerajaan mempunyai pemahaman terhad mengenai cara ia beroperasi dan mempengaruhi pengguna kandungan yang menggunakannya.
Pada forum itu, Fahmi menggariskan usaha Malaysia untuk menambah baik liputan Internet, kelajuan dan kemampuan mendapatkannya sambil menjadikan capaian dalam talian lebih selamat, terutama kepada kanak-kanak.
Mendedahkan bahaya dihadapi kanak-kanak dalam talian, beliau memetik kes terbaru yang menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 53 individu disyaki terbabit kegiatan pedofilia, serta merampas lebih setengah juta fail disyaki mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Beliau menyifatkan perlindungan kanak-kanak dalam talian sebagai cabaran yang turut dihadapi oleh negara-negara di rantau ini.
Fahmi berkata, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan bagaimana mereka membentuk pilihan masyarakat sambil memastikan individu mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan yang lebih termaklum.
Minggu Teknologi Bali bertema ‘Archipelago Ascending: Advance Together, Innovate Further‘ berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini di Pusat Konvensyen Bali Beach di Sanur dengan menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin teknologi, inovator dan pelabur.
Fahmi diundang oleh rakan sejawat dari Indonesia, Meutya Hafid, untuk menyampaikan ucaptama pada acara itu sempena lawatan kerja beliau ke Indonesia dari Isnin hingga Khamis ini.
Beliau dijadualkan berlepas ke Jakarta lewat Selasa bagi meneruskan agenda lawatan rasminya.





