Elak risiko kebocoran data: PM galak rakyat guna aplikasi navigasi tempatan ‘TuJu’ ganti Waze

KERAJAAN menggalakkan seluruh rakyat Malaysia supaya beralih kepada aplikasi navigasi tempatan iaitu TuJu sebagai alternatif utama menggantikan perkhidmatan Waze demi menjamin keselamatan data dan kedaulatan pergerakan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa syor penggunaan aplikasi buatan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu dibuat berikutan potensi risiko keselamatan maklumat susulan pemilikan dan perundangan luar yang terikat dengan perkhidmatan aplikasi navigasi asing.

Perkara berkenaan menjadi antara fokus utama yang dimuktamadkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026 bagi memperkukuh benteng digital dan kesiapsiagaan negara mendepani ancaman siber terkini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026 hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel. Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.

“Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC),” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Selain isu pendedahan data navigasi, mesyuarat JKSN tersebut turut meneliti secara mendalam pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, pemantapan integriti MyDigital ID, persediaan siber mengimbangi ancaman komputer kuantum, ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) autonomi, serta perlindungan ketat ke atas Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

Menurut Anwar, langkah proaktif dan pengukuhan undang-undang siber ini amat krusial bagi memastikan agenda pendigitalan perkhidmatan awam terus memudah cara urusan harian rakyat tanpa menggadaikan aspek keselamatan, kepercayaan, dan kedaulatan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here