SEORANG guru wanita cedera selepas dipercayai diserang seorang pelajar lelaki tingkatan empat, di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan senjata yang ditemukan, ialah pisau kecil jenis penknife dan juga kapak kecil.
“Butiran lanjut berhubung kejadian itu akan disampaikan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelajar terbabit sudah ditahan sejurus kejadian itu dan kini ditahan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS).
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian dan mendapatkan bukti berkaitan,” katanya.
Terdahulu, tular video seorang pelajar bertindak menyerang seorang individu wanita yang dipercayai gurunya.





