SEBANYAK 251 penumpang feri Express Bahagia 98 (EB98) dari Langkawi yang terkandas di beting pasir berhampiran laluan masuk ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis pagi tadi selamat dipindahkan pada 2.50 petang tadi.
Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata kesemua penumpang bersama bagasi masing-masing berjaya dipindahkan dengan bantuan pasukan keselamatan dan pihak berkaitan, manakala 10 kru feri itu turut dilaporkan selamat.
“Operasi pemindahan ini dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Kuala Perlis, Persatuan Nelayan Kuala Perlis dan Sea Splash Travel Sdn Bhd selepas dua usaha awal untuk menarik keluar feri menggunakan Feri Kenangan 6 dan Langkawi Auto Express 1 tidak berjaya berikutan paras air laut yang semakin surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhafiz berkata feri EB98 itu berlepas dari Langkawi pada 9.30 pagi sebelum terkandas pada 10.35 pagi berhampiran Boya No. 1, Kuala Perlis, dipercayai berlaku apabila nakhoda mengambil tindakan mengelak pukat yang melintang di laluan pelayaran keluar dan masuk Kuala Perlis.
“Ketika tindakan itu diambil, kedua-dua enjin utama feri dihentikan sebelum tiupan angin menyebabkan feri berkenaan dihanyutkan ke kawasan beting pasir,” katanya.
Beliau berkata usaha mengeluarkan feri itu dijadualkan sekitar 7 malam ini apabila paras air laut dijangka kembali meningkat dan operasi dirancang dengan bantuan bot nelayan serta tertakluk keadaan pasang surut serta kesesuaian keadaan semasa bagi memastikan proses berkenaan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Norhafiz berkata Langkawi Ferry Line Ventures turut memohon maaf kepada penumpang dan pihak yang terjejas atas kesulitan serta gangguan perjalanan yang berlaku itu.





