Larangan Waze: MAPIM sokong langkah berprinsip, minta ketelusan dan audit digital

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyambut baik keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam demi memperkukuh keselamatan siber serta kedaulatan digital negara.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah yang berkuat kuasa serta-merta itu wajar diberikan perhatian dalam usaha melindungi kepentingan strategik Malaysia, selain menilai hubungan antara penggunaan teknologi digital dan dasar luar negara.

Menurutnya, larangan berkenaan dikuatkuasakan susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau menegaskan bahawa aplikasi digital hari ini bukan lagi sekadar alat kemudahan harian, sebaliknya mengumpul data lokasi dan corak pergerakan yang mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan perkhidmatan awam.

“Malaysia perlu mempunyai dasar kedaulatan digital yang jelas, konsisten dan berasaskan penilaian risiko. Penggunaan sesuatu aplikasi oleh penjawat awam yang memegang maklumat sensitif perlu dinilai berdasarkan keselamatan data dan amalan perkongsian maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa penjelasan rasmi mengenai asas penilaian keselamatan amat penting supaya keputusan larangan itu difahami sebagai langkah perlindungan negara yang berasaskan bukti, dan bukannya sekadar tindakan simbolik.

Mengenai aspek moral, beliau berkata solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin perlu diterjemahkan secara munasabah ke dalam dasar institusi melalui penelitian terhadap hubungan ekonomi, teknologi dan pelaburan dengan pihak yang terbabit dalam penindasan.

Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan termasuk desakan memberi penjelasan rasmi berhubung asas teknikal larangan Waze dan menjalankan audit risiko digital secara menyeluruh ke atas semua aplikasi urusan rasmi.

Tuntutan lain merangkumi penerapan dasar keselamatan yang konsisten terhadap semua aplikasi tanpa mengira negara asal, penyediaan panduan serta aplikasi alternatif yang selamat, dan pengukuhan kedaulatan teknologi tempatan.

MAPIM turut menggesa kerajaan supaya tidak terhenti pada tindakan melarang, sebaliknya mengambil langkah strategik membangunkan alternatif pemetaan digital dan teknologi tempatan menerusi kerjasama agensi awam, universiti dan syarikat tempatan.

“Kedaulatan digital tidak boleh dikompromikan dan prinsip kemanusiaan mesti diterjemahkan melalui dasar yang berasaskan fakta, konsisten serta berkesan demi kepentingan keselamatan negara,” tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here