Dua lelaki dihanyut arus deras ditemukan lemas

DUA  lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Muhamad Aidil Aiman Muhammed Bajuri, 23, dan Muhammad Aidil Imran Mohd Nor Aziz, 21, ditemukan pada kedalaman kira-kira lima meter oleh pasukan penyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.13 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik sahaja tiba di Kem Pangkalan Kampung Hulu Rening pada jam 12.45 tengah hari, anggota terpaksa berjalan sambil mendaki bukit sejauh empat hingga lima kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Menurut pemanggil, enam individu sedang menjalankan aktiviti pendakian sebelum dua mangsa mandi di sungai berkenaan dan kemudian dilaporkan tenggelam. Pasukan PBS tiba di Lubuk Tupai pada jam 1.05 tengah hari dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan.

“Mangsa pertama ditemukan di dasar air terjun pada jam 2.15 petang, manakala mangsa kedua ditemui 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ashrul Riezal berkata, empat lagi rakan mangsa, iaitu Mohamad Ridwan Syafie, 20; Ahmad Junaidi Rasul, 23; Norhatika Rosli, 20; dan Muhammad Naim Haziq Nasaruddin, 20, turut dibawa keluar dari lokasi. Operasi ditamatkan pada jam 5.20 petang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here