PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM), menyifatkan kerajaan telah membuat satu keputusan yang luar biasa dan bijak apabila melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam demi memperkukuh keselamatan siber serta kedaulatan digital negara.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, beliau amat gembira dengan keputusan kerajaan itu yang disifatkan sebagai tepat pada masanya untuk menjamin keselamatan siber dan data rakyat negara ini daripada dimanipulasi oleh pihak luar khususnya Israel.
Menurut beliau, pihaknya yakin sekiranya kerajaan tidak lagi menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi ciptaan Barat itu, ia memberi peluang kepada negara untuk mencipta aplikasi tempatan yang lebih selamat dan yakin untuk diguna pakai.
“Langkah kerajaan ini (melarang penggunaan Waze) bagi PPIM adalah sesuatu yang luar biasa, tidak pernah terbayangkan bahawa kerajaan bertegas dalam membuat keputusan ini dan PPIM mengucapkan tahniah kepada kerajaan.
“Secara tidak langsung juga, karangan Waze ini membolehkan negara mewujudkan satu produk tempatan iaitu TuJu (yang dicipta oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia) dan ia bakal menjadi keperluan dan kegunaan rakyat kita sendiri tanpa mengharapkan produk luar,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Berkuat kuasa serta merta, kakitangan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel atas faktor keselamatan siber dan data pergerakan.
Arahan berhubung larangan berkenaan dikeluarkan menerusi pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober (semalam) itu meneliti perkembangan ancaman siber serta langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
Nadzim dalam pada itu berkata, larangan aplikasi navigasi Waze juga dianggap sebagai permulaan untuk Malaysia menghasilkan produk tempatan dan lebih menarik lagi jika produk ini turut dikongsi bersama negara serantau.
“Ini hanya satu permulaan, selain kita memboikot produk keluaran Israel yang lain, penggunaan aplikasi tempatan wajar diperluaskan di negara serantau ASEAN di mana kita oleh sepakat untuk mewujudkan aplikasi sendiri,” jelasnya.





