Larangan Waze: Bukti komitmen tegas Malaysia terhadap penindasan rejim Zionis

KEPUTUSAN kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam disifatkan sebagai menterjemah komitmen tegas Malaysia terhadap penindasan rejim Zionis di Gaza, selain melindungi keselamatan data dan kepentingan strategik negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata langkah itu mencerminkan pendirian negara terhadap penindasan rakyat Palestin dan wajar diperluas kepada produk serta perkhidmatan lain yang mempunyai kaitan dengan Israel.

“Satu langkah yang sangat baik, yang menunjukkan komitmen kita terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Gaza, penolakan terhadap Israel dan juga produk-produk lain yang dikeluarkan oleh negara haram Israel.

“Dan (langkah ini) perlu lebih komprehensif sehingga produk-produk ini lumpuh serta tidak mendapat tempat langsung di dalam pasaran Malaysia,” katanya lapor Bernama.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan memperketat usaha diplomatik bagi menggalakkan sekatan pergerakan terhadap warga Israel termasuk individu yang mempunyai dwikewarganegaraan.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik sebagai kuasa tengah yang bersifat apolitikal untuk memainkan peranan sebagai perantara dan perunding yang berkesan di pentas antarabangsa bagi mendesak tindakan kolektif serantau.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here