Lans koperal mengaku tidak bersalah rompak rantai emas wanita Myanmar

SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan merompak rantai leher emas milik seorang wanita warga Myanmar, minggu lalu.

Muhammad Fitri Suwaidi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak rantai leher emas milik mangsa serta sengaja menyebabkan ketakutan terhadap wanita itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, kira-kira jam 4 petang pada 16 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Buletin TV3.

Nadhirah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, Muhammad Fitri memohon supaya dibenarkan diikat jamin kerana perlu menanggung keluarga termasuk dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melarangnya mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November ini bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.

Difahamkan, Muhammad Fitri yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang digantung kerja ketika kejadian berlaku.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here