SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan mengambil dadah jenis ketamine dan MDMA di sebuah pusat hiburan, April lalu.
Tertuduh, Lans Koperal Mohammad Aizat Zamli, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha, lapor Harian Metro.
Mohammad Aizat yang bertugas di Balai Polis Segamat, Johor didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam badannya iaitu ketamine dan MDMA (methylenedioxy-methamphetamine).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik VIP 1, Wisma Wolley, Jalan Canning Estate, Taman Ipoh pada jam 5.04 pagi, 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
Seksyen 38B(1) akta sama turut memperuntukkan perintah pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.
Muhammad Zulqarnain memohon satu tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam, selain menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Nur Nadzrah memohon jumlah jaminan minimum dengan mengambil kira pendapatan tertuduh kira-kira RM3,000 sebulan serta tanggungjawabnya menjaga bapa yang sudah berusia.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






