POLIS akan mengumumkan perkembangan siasatan berhubung insiden seorang pelajar lelaki mencederakan guru wanita di sebuah sekolah swasta di Kuching pada 27 Oktober ini.
Bahagian Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak memaklumkan sidang media akan diadakan pada Selasa depan selepas siasatan kes berkenaan selesai.
“Pasukan penyiasat sedang menjalankan beberapa tindakan termasuk mengumpul dan mengesahkan fakta bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat.
“Polis turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara terperinci serta mengelakkan penyebaran maklumat yang belum disahkan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.03 pagi Selasa lalu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan mencederakan seorang guru wanita di sekolah berkenaan.
Polis menerima laporan kejadian menerusi talian MERS 999 sebelum siasatan awal mendapati pelajar itu dipercayai membawa mercun dan menggunakan kapak untuk mencederakan mangsa yang mengalami luka pada tangan.
Suspek ditahan selepas kejadian sebelum dirujuk ke wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS).
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menghormati proses siasatan serta perundangan yang sedang berjalan.





