SEORANG buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk merosakkan barangan dan menceroboh Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan, pada 5 Oktober lalu.
Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet masjid dengan menyimbah cecair berbau busuk, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh dianggap sebagai keaiban terhadap agama Islam oleh penganutnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke masjid berkenaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4.35 pagi pada 5 Oktober lalu, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Suhadah Mohamed Ripim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu hukuman bagi dua pertuduhan berkenaan pada 23 November ini.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine untuk dirinya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat kira-kira jam 1 pagi pada 17 Oktober lalu.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan itu, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk penyerahan laporan kimia.





