SEORANG buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 20 tahun hingga hamil 18 minggu.
Tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol anak kandungnya di ruang tamu dan bilik tidur sebuah rumah di daerah Batu Pahat antara Mac 2025 dan Januari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara 30 tahun serta sebatan minimum 10 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Memandangkan kes ini bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen, mahkamah menetapkan esok untuk sebutan fakta dan hukuman terhadap tertuduh. Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Berdasarkan laporan, mangsa mengadu sakit perut dan dibawa ahli keluarganya ke klinik kesihatan, yang hasil pemeriksaan mendedahkan dia hamil angkara bapa kandungnya sendiri.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut.


