PN perlu buktikan kemampuan mentadbir, bukan sekadar bergantung pada logo

PERIKATAN Nasional (PN) perlu membuktikan keupayaan mengurus kepimpinan dan menyelesaikan konflik dalaman sebelum meyakinkan pengundi bahawa gabungan itu mampu mentadbir negeri dengan berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kebenaran menggunakan logo PN pada pilihan raya itu tidak semestinya mencerminkan kekuatan politik gabungan berkenaan masih utuh.

Sebaliknya, beliau berkata, PN perlu menjawab persoalan lebih besar berkaitan krisis kepercayaan, kepimpinan dan kesepaduan antara parti komponennya yang boleh mempengaruhi keyakinan pengundi.

“Logo boleh dikekalkan, tetapi apakah jentera, kesetiaan dan kekuatan politik PN masih utuh?” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Menurutnya, PRN Melaka bakal menjadi medan penting untuk menguji sama ada PN masih berfungsi sebagai gabungan politik yang kukuh atau sekadar berkongsi nama dan simbol tanpa kesepakatan yang meyakinkan.

Beliau berkata, kekuatan akar umbi Pas tidak semestinya mampu menggantikan peranan Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dalam membina sokongan lebih meluas merentasi kelompok etnik.

Katanya, cabaran PN bukan sekadar memastikan logonya dapat digunakan dalam pilihan raya, tetapi membuktikan bahawa simbol itu masih membawa keyakinan dan makna politik kepada pengundi.

“Dalam pilihan raya, logo boleh membuka pintu tetapi kepercayaan pengundi yang menentukan kemenangan,” katanya.

Mengulas konflik membabitkan Bersatu dan Pas berhubung isu pendaftaran PN, Sivamurugan berkata, tindakan menyalahkan mana-mana parti sebagai punca kemelut itu mungkin memberi kelebihan politik jangka pendek, namun berisiko menjejaskan gabungan berkenaan secara keseluruhan.

Menurutnya, Bersatu tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab terhadap krisis itu di bahu Pas kerana kedua-dua parti perlu menjelaskan mengapa kesepakatan dalam gabungan gagal dipertahankan.

“Jika Pas menjadi punca PN berdepan krisis, Bersatu juga perlu menjawab mengapa gabungan itu gagal dipertahankan,” katanya.

Beliau menyifatkan kemelut berkenaan sebagai petunjuk bahawa bukan sahaja hubungan antara parti perlu diteliti, malah keupayaan kepimpinan PN mengurus perbezaan dan mempertahankan asas kerjasama turut menjadi persoalan.

“Dalam politik, apabila rumah runtuh, jangan hanya menyalahkan penghuni; kepimpinan dan asas rumah itu juga perlu dipersoalkan,” katanya.

Sivamurugan berkata, PRN Melaka turut membuka ruang untuk menilai kekuatan sebenar setiap parti dalam PN, khususnya sama ada mereka mampu mempertahankan sokongan pengundi tanpa bergantung sepenuhnya pada jenama gabungan.

Katanya, Pas masih mempunyai kekuatan akar umbi melalui organisasinya sendiri, manakala Bersatu perlu membuktikan kemampuan organisasi serta daya tarikannya untuk terus mendapat sokongan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, PN perlu membuktikan bahawa gabungan berkenaan masih mempunyai asas kerjasama yang kukuh dan mampu bergerak sebagai satu pasukan, bukan sekadar mempertahankan penggunaan logo dalam pilihan raya.

“Jangan sampai Pas kehilangan rakan, Bersatu kehilangan arah dan PN tinggal sekadar logo,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here