Ustaz Wadi Annuar cedera dalam kemalangan di Gerik, JBPM tempuh perjalanan 59km ke lokasi

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik, awal pagi tadi.

Nahas kira-kira jam 2.40 pagi itu turut melibatkan dua kereta, masing-masing Perodua Myvi dan Perodua Bezza, dengan lima individu dilaporkan cedera manakala lima lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

USTAZ Wadi Annuar. GAMBAR fail

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi selepas menerima laporan kejadian.

Menurutnya, anggota bomba tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira 59 kilometer dari balai pada jam 3.42 pagi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.

“Seorang lelaki berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, manakala pemandunya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang lelaki berusia 24 tahun yang berada di tempat duduk belakang Myvi mengalami kecederaan ringan.

Dalam kejadian itu, empat individu berada di dalam MPV Toyota Vellfire dengan dua daripadanya cedera, manakala dua lagi terselamat tanpa kecederaan.

Kesemua penumpang MPV itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.

Sabarodzi berkata, tiga mangsa dari Perodua Myvi dan dua penumpang MPV yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Gerik menggunakan ambulans serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, tiga individu yang menaiki Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan. Kenderaan berkenaan bagaimanapun sudah tiada di lokasi ketika pasukan penyelamat menjalankan tugas kerana pemiliknya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Operasi menyelamat yang membabitkan 10 anggota serta tiga jentera bomba itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.39 pagi.

Dalam perkembangan berkaitan, satu hantaran di laman Facebook milik Ustaz Wadi Annuar memaklumkan beliau bersama beberapa kakitangan turut terbabit dalam kemalangan berkenaan ketika dalam perjalanan di Gerik.

Hantaran itu turut meminta orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pendakwah berkenaan serta individu lain yang terlibat.

“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut hantaran itu.

Maklumat berasingan pula menyatakan Ustaz Wadi masih menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kesakitan pada bahagian perut dan dada, namun keadaannya dilaporkan stabil.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here