
Oleh: KPKPj Hishammudin Mohammed Esa
DALAM sesuatu operasi, khususnya yang berisiko tinggi, kepantasan dan ketelitian sering menjadi ukuran kejayaan. Namun, di sebalik kedua-duanya ada satu perkara yang tidak boleh sama sekali dikompromi iaitu aspek keselamatan.
Selain pasukan penyiasat perlu bergerak pantas, tetapi pada masa sama setiap tindakan mesti dirancang dengan teliti. Maklumat perlu dirahsiakan, risiko mesti dinilai dan setiap kemungkinan perlu diambil kira kerana satu kesilapan percaturan bukan sahaja boleh menjejaskan operasi, malah berupaya mengancam nyawa anggota yang bertugas.
Di sebalik operasi penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering mendapat perhatian masyarakat, wujud satu pasukan yang memastikan keselamatan sentiasa berada pada tahap keutamaan.
Mereka mungkin tidak berada di hadapan kamera atau menjadi tumpuan laporan berita. Namun, peranan mereka cukup besar dalam memastikan setiap operasi berlangsung lancar, terkawal dan paling penting, selamat.
Inilah realiti tugas Bahagian Keselamatan SPRM, sebuah unit yang berperanan sebagai perisai institusi dalam menyokong misi membanteras rasuah.
ACTS: pasukan taktikal SPRM
Dalam operasi berisiko tinggi, khususnya yang membabitkan sindiket terancang atau pihak yang berpotensi mengancam keselamatan, sokongan taktikal menjadi elemen penting.
Di sinilah peranan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) yang menyediakan sokongan taktikal serta perlindungan keselamatan mengikut keperluan operasi.
Berpegang pada moto ‘Pantas, Senyap dan Agresif’, pantas bukan bermakna terburu-buru. Senyap bukan bermakna pasif. Agresif pula tidak bermaksud bertindak tanpa batas.
Sebaliknya, setiap tindakan perlu berlandaskan disiplin, kesiapsiagaan dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Pantas dalam bertindak, senyap dalam memelihara kerahsiaan dan agresif dalam melaksanakan tugasan mengikut SOP.
Prinsip itu menggambarkan keperluan untuk bertindak cekap dan berkesan tanpa mengabaikan keselamatan pegawai serta kepentingan operasi.
Keupayaan ACTS dapat dilihat melalui penglibatan pasukan itu dalam 24 operasi berisiko tinggi yang berjaya dilaksanakan dengan lancar sepanjang 2024 hingga 2026.
Operasi terbabit melibatkan Bahagian Operasi Khas, Bahagian Siasatan dan Bahagian Perisikan SPRM, antaranya Op Crus, Op Liter, Op Airways, Op Metal, Op Karen 2.0, Op Dragon, Op Parasit, Op Golden dan Op NCS.
Penglibatan berterusan itu mencerminkan keperluan terhadap sokongan taktikal yang konsisten dalam mendepani pelbagai cabaran penguatkuasaan.
Setiap operasi mempunyai konteks dan tahap risiko tersendiri. Justeru, perancangan keselamatan tidak boleh bersifat satu pendekatan untuk semua, sebaliknya perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan tugasan di lapangan.
Sentiasa bersiapsiaga
Di sebalik setiap tindakan penguatkuasaan, ada individu yang memikul tanggungjawab besar iaitu pegawai penyiasat, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan saksi yang terlibat dalam kes tertentu.
Keselamatan mereka bukan perkara sampingan kerana sebarang ancaman terhadap individu terbabit bukan sahaja boleh menjejaskan kelancaran tugasan, malah berpotensi memberi kesan kepada proses keadilan.
Justeru, Bahagian Keselamatan memberi perhatian serius kepada perancangan perlindungan, penilaian risiko dan penyediaan langkah keselamatan yang bersesuaian.

Setiap tugasan perlu mengambil kira keadaan persekitaran, potensi ancaman serta keperluan pihak yang terbabit. Tanggungjawab ini turut meliputi pengurusan lokap dan penjagaan Orang Kena Tuduh (OKT).
Daripada aspek pemantauan tahanan hinggalah urusan membawa OKT ke mahkamah, setiap proses perlu dilaksanakan secara profesional serta mematuhi peruntukan undang-undang.
Dalam konteks ini, keselamatan dan integriti berjalan seiring. Perlindungan yang berkesan bukan sekadar memastikan tugasan dapat dilaksanakan dengan selamat, tetapi turut membantu memelihara hak individu serta keyakinan terhadap institusi.
Pelihara kerahsiaan
Selain terlibat dengan operasi, Bahagian Keselamatan turut bertanggungjawab terhadap dasar, polisi dan operasi keselamatan di premis SPRM di seluruh negara, termasuk memastikan kawalan akses, pemantauan premis serta perlindungan maklumat dilaksanakan secara berkesan.
Keselamatan premis bukan semata-mata bertujuan menghalang pencerobohan. Lebih daripada itu, ia perlu mewujudkan persekitaran yang selamat kepada warga kerja, saksi dan individu yang tampil memberikan maklumat kepada SPRM.
Dalam usaha memerangi rasuah, keyakinan seseorang untuk tampil membantu tidak hanya bergantung kepada keberanian, tetapi turut dipengaruhi sejauh mana keselamatan dan kerahsiaan mereka diberikan perhatian.

Seiring perkembangan teknologi, sistem keselamatan juga perlu bergerak seiring dengan perubahan ancaman. Projek menaik taraf sistem CCTV bernilai RM6.5 juta di ibu pejabat SPRM Putrajaya misalnya telah disiapkan sepenuhnya, membabitkan pemasangan 557 unit kamera yang bangunan tersebut.
Projek yang bermula pada 29 Mei 2025 itu yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi teknikal merangkumi pemasangan kamera terkini yang canggih serta pelbagai sensor berteknologi tinggi.
Naik taraf berkenaan turut membabitkan sistem pengurusan pelawat bagi menyokong pemantauan keselamatan selama 24 jam.
Sistem berkenaan turut dilengkapi teknologi pengesanan wajah dan pengesahan identiti, sekali gus memperkukuh keupayaan pemantauan serta membolehkan pergerakan keluar masuk kakitangan dan pelawat direkodkan dengan lebih teratur.
Di sebalik kamera, sensor dan sistem pemantauan yang serba canggih, faktor manusia kekal penting. Keupayaan menilai risiko, membuat keputusan tepat dan bertindak pada masa diperlukan menjadi antara elemen utama dalam memastikan sistem keselamatan benar-benar berkesan.
Cabaran era digital
Ancaman keselamatan hari ini tidak lagi terhad kepada aspek fizikal. Perkembangan media sosial membuka satu lagi dimensi risiko yang semakin kompleks.
Rakaman pendek yang tular, provokasi dan penyebaran maklumat tanpa konteks boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap pegawai serta organisasi.
Dalam keadaan tertentu, sesuatu tindakan yang dirakam secara terpilih boleh menimbulkan salah faham apabila keseluruhan konteks kejadian tidak diketahui umum.
Dalam menghadapi keadaan sedemikian, pegawai keselamatan bukan sahaja memerlukan kesiapsiagaan fizikal, malah ketahanan mental.
Keupayaan mengawal emosi, mematuhi prosedur dan kekal profesional ketika berdepan provokasi adalah sebahagian daripada disiplin tugas.
Pada masa sama, kesedaran mengenai keselamatan digital juga perlu dipertingkatkan. Pendedahan maklumat peribadi secara berlebihan di media sosial boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengenal pasti kelemahan, melakukan ugutan atau mengeksploitasi maklumat berkenaan.
Justeru, konsep keselamatan masa kini perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
Ia bukan lagi sekadar soal perlindungan fizikal, sebaliknya merangkumi teknologi, maklumat dan kesejahteraan warga kerja.
Keselamatan terus diperkasa
Memasuki tempoh 2026 hingga 2030, Bahagian Keselamatan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan bagi menghadapi landskap ancaman yang semakin kompleks.
Selaras dengan Pelan Strategik SPRM 2026–2030, Substrategi 3.17 memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan Pelan Pengurusan Ancaman Keselamatan SPRM di seluruh Malaysia.
Inisiatif itu bertujuan memperkukuh pengurusan ancaman serta memastikan tahap kesiapsiagaan keselamatan sentiasa berada pada tahap optimum.
Pemodenan sistem, integrasi teknologi digital, analitik data dan penerapan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi antara pendekatan yang berpotensi meningkatkan kecekapan pemantauan serta pengurusan risiko.
Hakikatnya, keberkesanan sesuatu operasi bukan hanya diukur berdasarkan hasil yang dicapai.
Lebih penting, ia turut diukur melalui keupayaan memastikan keselamatan mereka yang melaksanakan amanah berkenaan.
Bahagian Keselamatan mungkin tidak sentiasa berada di hadapan, namun tanggungjawabnya tidak pernah kecil.
Seperti perisai yang melindungi tanpa perlu menonjol, kekuatan bahagian ini terletak pada kesiapsiagaan, disiplin dan keupayaan bertindak apabila diperlukan.
Ini kerana di sebalik setiap usaha menegakkan integriti dan memerangi rasuah, keselamatan bukan sekadar sokongan. Ia adalah asas yang membolehkan usaha menjadikan Malaysia negara bebas rasuah terus dilaksanakan.
*Penulis ialah Pengarah Bahagian Keselamatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)





