TAKTIK sindiket menjadikan sebuah kuil tidak berdaftar di Klang sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kuil berkenaan dipercayai digunakan untuk menyimpan heroin sejak awal tahun ini dan merupakan antara empat lokasi yang diserbu dalam lima operasi berasingan di negeri ini dari 13 hingga 19 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu menyasarkan empat sindiket berbeza dan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM16.2 juta.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan. Semakan awal mendapati kuil berkenaan tidak berdaftar dan dipercayai dijadikan stor penyimpanan heroin sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, polis percaya kegiatan itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud unsur gangsterisme atau penglibatan kumpulan kongsi gelap.
Dalam operasi itu, lapan individu terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan. Mereka membabitkan empat warga tempatan dan empat warga asing.
Shazeli berkata, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, semua suspek warga asing memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial dan semakan lanjut sedang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Katanya, terdapat suspek yang baru beberapa hari berada di negara ini sebelum ditahan.
“Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, namun dadah berjaya dikesan dalam bagasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, polis percaya dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Semakan rekod mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod lampau membabitkan tujuh kesalahan berkaitan dadah dan jenayah, manakala suspek lain tidak mempunyai rekod jenayah.
Antara dadah yang dirampas ialah 81.3 kilogram bunga ganja mampat, 37 kilogram ganja mampat, 3,510 katrij cecair ketamin, 65.4 kilogram ketamin, 84 botol cecair ekstasi dan 20.6 kilogram heroin.
Polis turut menyita aset bernilai RM54,835 daripada empat suspek tempatan, termasuk dua kereta jenis Honda Accord dan Proton Saga, sebuah motosikal Honda RS150 serta wang tunai dalam mata wang pound sterling dan ringgit.
Operasi itu dijalankan JSJN Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, IPD KLIA dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).





